Topup kena cukai 6% Mulai 15 Sept

 

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) — Pembelian tambah nilai prabayar dan permulaan prabayar/pek SIM bagi semua syarikat telekomunikasi akan dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus, berkuat kuasa 15 Sept.

Pelanggan prabayar akan dimaklumkan melalui SMS bermula tengah hari ini mengenai cukai perkhidmatan ITU, demikian menurut industri syarikat telekomunikasi Malaysia dalam kenyataan bersama di sini hari ini.

Para pelanggan juga boleh merujuk kepada laman web syarikat telekomunikasi masing-masing untuk maklumat atau menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan sekiranya mereka mempunyai pertanyaan lanjut.

Syarikat telekomunikasi itu berkata cukai perkhidmatan merupakan cukai penggunaan dan boleh dikenakan kepada pelanggan sebagaimana yang disediakan dalam perundangan cukai perkhidmatan.

Akta Cukai Perkhidmatan 1975 memerlukan syarikat telekomunikasi mengenakan levi cukai perkhidmatan pada kadar tertentu terhadap perkhidmatan telekomunikasi, termasuk perkhidmatan prabayar mudah alih.

Ini sama seperti cukai perkhidmatan yang dilevi terhadap pembelian makanan dan minuman daripada restoran dan hotel.

Cukai perkhidmatan terhadap prabayar bukan baru kerana syarikat telekomunikasi telah menyerapnya bagi perkhidmatan prabayar mudah alih sejak pengenalan pada 1998.

Langkah yang diambil adalah bagi memastikan perkhidmatan prabayar mudah alih kekal kompetitif berbanding pasca bayar, memandangkan kadar prabayar tinggi bagi panggilan dan SMS pada permulaan.

Dengan kadar prabayar berkurangan sejak bertahun, ia kini ditawarkan pada kadar yang amat kompetitif.

“Dengan cukai perkhidmatan enam peratus terhadap perkhidmatan prabayar, seorang pelanggan yang membeli tambah nilai RM10 perlu membayar RM10.60, dengan 60 sen sebagai cukai perkhidmatan,” kata kenyataan itu.

— BERNAMA

Era.fm mai Kuala Ketil

4-Sep-2011 Era FM ke rumah yang ketiga pemenang bagi RRE(Riuh Raya ERAthon) Siti Aishah di teratak kampung tradisionalnya di Kampung Lahar Parang, Kuala Ketil. Tahniah kepada Siti Aisyah dan terima kasih kepada Era yang sanggup mai dari jauh noh. Ada sedikit sebanyak gambar-gambar kenangan raya 2011 RRE yang dikebas dari website era fm..hee, jgn marah cek nah, cek baru belajar..








Era.fm best

Wira Malaya- Noramfaizul

 

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) — Jurukamera Bernama TV Noramfaizul Mohd Nor, 39, maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia, Jumaat.

Wartawan TV3 Aji Saregar Mazlan cedera ringan di bahu kanan terkena serpihan peluru, menurut wartawan Astro Awani Tan Su Lin yang membuat liputan langsung di Astro Jumaat malam.

Beliau berkata kejadian berlaku pada pukul 5.40 petang waktu tempatan (Malaysia lima jam lebih awal dari Somalia) semasa mereka seramai enam orang sedang menaiki pacuan empat roda dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.

“Tiba-tiba saya terdengar dua bunyi kuat dari sebelah kanan dan ada bau asap. Saya tidak menyangka kenderaan kami terkena tembakan apabila menoleh kebelakang, Aji dalam kesakitan dan Faizul dalam keadaan pucat,” katanya.

Jurukamera

Sementara itu, wartawan Bernama TV Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata tembakan peluru sesat itu mengenai bahu Noramfaizul dan menembusi parunya.

Noramfaizul meninggal dunia semasa menerima rawatan pada pukul 6.10 petang waktu tempatan.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua orang anak lelaki Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.

Sementara itu, Norazrina, yang sedang dalam perjalanan balik dari Johor ke rumah mertuanya di Serdang Raya dekat sini, melahirkan rasa terkejut dan sedih dengan pemergian Allahyarham.

Norazrina berkata sebelum suaminya berlepas ke Somalia, Allahyarham telah berpesan supaya menjaga diri dan anak mereka dengan baik.

“Dia turut berpesan dia pergi kerana berkhidmat untuk negara, dan jangan bimbang dengan keselamatan dirinya,” kata eksekutif perhubungan awam sebuah agensi kerajaan di sini.

Dalam pada itu, Tan berkata mereka pulang ke tempat penginapan untuk berkemas kerana dijangka pulang ke Malaysia pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan pada Sabtu.

Beliau berkata ketua misi Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia, sedang berbincang dengan pihak pengurusan untuk membawa balik jenazah Allahyarham bersama rombongan misi pada Sabtu.

Misi tersebut berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

Sementara itu, ibunya Naemah Abdul Majid, 63, berkata dua hari sebelum Allahyarham berlepas, keluarganya mengadakan kenduri doa selamat.

Allahyarham juga sempat membeli kasut sempena Hari Raya Aidilfitri untuk dua orang anaknya.

“Anak makcik tu biasa sahaja, dia pergi pun tiada apa-apa perubahan, dua hari sebelum pergi kami buat kenduri dan adik-beradiknya sempat berkumpul semua menghantar beliau.

“Tapi makcik redha dengan pemergian beliau, harap semua doakan rohnya dicucuri rahmat oleh Allah. Makcik rasa redha walaupun makcik sedih, makcik tahu Allah lebih sayangkan dia,” katanya.

Naemah berkata Allahyarham turut sempat memberikannya wang untuk membayar sewa rumah dan juga wang untuk beliau dan suaminya sebelum berlepas.

“Dia tinggalkan duit kat makcik dan bapanya, cuma masa makcik menghantarnya arwah meminta makcik tidak keluar dari kereta tetapi makcik nak juga keluar untuk melihat beliau berlepas ke Somalia,” katanya.

Ahli keluarga Allahyarham yang berkumpul di rumah keluarganya di sini turut mengadakan bacaan Yassin.

Sementara itu, jiran Allahyarham, G. Marimuthu, 65, yang turut berada di rumah keluarga Allahyarham sejak pukul 11 malam tadi, berkata beliau mengenali Allahyarham sejak lebih 20 tahun lepas semasa mereka menetap di taman itu pada 1989.

Marimuthu, seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata Allahyarham amat peramah dan sering menegur beliau dan isteri.

“Sebelum berlepas ke Somalia pada 28 Ogos lepas, Faizul sempat bersalaman dengan isteri saya G. Saraswathi, bertanyakan khabar dan memaklumkan pemergiannya ke Somalia,” katanya.

— BERNAMA

Salam Kemerdekaan

Salam kepada semua rakyat Kuala Ketil dan seluruh Malaysia. Kuala Ketil.com ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 54 kepada semua rakyat Malaysia terutamanya di Kuala Ketil, Kedah. Semoga kemerdekaan yang telah kita kecapi selama ini akan terus berkekalan. Marilah sama-sama kita menjaga Agama, Bangsa dan Negara dengan mengelak keganasan. Kita perlu memupuk semangat kebangsaan dan kesedaran sivik dari yang kecil hingga yang tua.