Kedah Koi Maju 2016-Kami Ada Litar Sendiri

Sepang: Kedah bakal memiliki litar lumba yang akan memulakan pembinaannya pertengahan tahun depan membabitkan kawasan seluas 70 hektar di Sungai Petani serta dijangka siap antara 2016 dan 2017.

Projek pembinaan Litar Kedah itu bakal direalisasikan menerusi perjanjian persefahaman (MoU) antara Perbadanan Menteri Besar Kedah Darul Aman (MB Inc) dengan Sepang International Circuit (SIC) bertujuan menjadikan SIC sebagai penasihat teknikal bagi pelaksanaan pembangunan litar berkenaan selain bertanggungjawab sebagai penasihat pengurusan selepas ia siap kelak.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, mengikut perancangan awal, litar itu akan dibina di atas tanah seluas 70 hektar dengan trek perlumbaan sejauh 1.6 kilometer.

“Namun, ia berpotensi untuk dibangunkan sehingga dua kilometer,” katanya selepas majlis menandatangani MoU dengan SIC di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi SIC, Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.

Menurutnya, litar berkenaan terletak berhampiran lapangan terbang baru dan secara tidak langsung dapat membantu menyemarakkan industri pelancongan tempatan.

“Kelebihan kami yang terletak di bahagian utara adalah ia berdekatan dengan negara jiran yang turut mempunyai ramai peminat sukan permotoran.

“Malah, kami juga menerima maklum balas positif daripada Thailand yang memaklumkan untuk menggunakan litar berkenaan selepas ia beroperasi kelak,” katanya.

Mukhriz berkata, buat masa ini nilai pelaburan masih belum diputuskan memandangkan perancangan rapi mengenai pembangunan litar berkenaan masih diteruskan.

“Buat masa ini jumlah pelaburan masih dibincangkan, namun kami meletakkan tempoh masa antara 2016 atau 2017 untuk litar ini siap sepenuhnya,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:08 AM
RAZLAN (dua dari kiri) bertukar perjanjian persefahaman dengan Pengurus Besar MB Inc, Mahadi Mohamad (dua dari kanan) sambil disaksikan Mokhzani (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Azimi Daim (kanan), Mukhriz (tiga dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif DORNA, Carmelo Ezpeleta di Sepang, semalam.

– See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3796#sthash.ZPxRPlE5.dpuf

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *